Apa Itu Tummy Time?

Apa Itu Tummy Time?

Tummy Time adalah satu aktiviti bermain bagi bayi yang boleh dilakukan seawal umurnya beberapa minggu. Untuk bayi yang masih belum mampu berguling sendiri, Tummy Time boleh dilakukan dengan meniarapkan bayi atas permukaan yang pejal dan lembut untuk beberapa minit sambil di awasi oleh orang dewasa.

Aktiviti ini amat disarankan kerana boleh membantu menguatkan otot leher, dada dan lengan bayi disamping melatih keseimbangan tubuh bayi supaya boleh segera meniarap dan merangkak ke hadapan. Selain itu aktiviti Tummy Time yang kerap boleh mengelakkan dari terjadinya Flat Head Syndrome dan mengurangkan risiko SIDS (Sudden Infants Death Syndrome).

Untuk permulaan, Tummy Time mencukupi dengan hanya 2-5 minit sehari. Apabila bayi sudah biasa dan boleh menstabilkan dirinya, tingkatkan kepada 3-5 kali sehari selama 5 minit sehingga bayi mampu berguling sendiri.

Pilih waktu yang tepat untuk melakukan Tummy Time supaya bayi anda berasa selesa. Sebaik-baiknya dialakukan ketika bayi tidak lapar. Tunggu dalam 30 minit hingga 1 jam selepas menyusu dan jangan lakukan Tummy Time sejurus selepas menyusu kerana bayi mungkin akan muntah.

Jika bayi anda tidak sukakan Tummy Time dan menangis apabila ditiarapkan, cuba berikan sokongan kepadanya dengan meniarap bersama dan memanggil namanya. Anda boleh juga menanyi atau meletakkan mainan di hadapan untuk menarik perhatiannya.

Tummy Time tidak semestinya hanya dilakukan dengan meniarapkan bayi di atas lantai atau tilam. Anda boleh sahaja memvariasikan aktiviti Tummy Time dengan meletakkan bayi di atas dada anda sambil anda berbaring atau bersandar. Luangkanlah waktu bersama bayi anda dan lakukan Tummy Time dengan kerap kerana manfaatnya sangat banyak berbanding dengan hanya meletakkan bayi dalam buaian atau baby rocker sepanjang hari.

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *