Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Post Partum Bleeding (Darah Nifas)

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Post Partum Bleeding (Darah Nifas)

Wanita yang bersalin secara normal, secara pembedahan atau keguguran akan mengalami pendarahan dari rahim dan keluar melalui vagina. Ia juga dikenali sebagai darah nifas atau lochia. Ini adalah normal dan merupakan cara semula jadi badan membuang darah dan tisu lebihan di dalam rahim yang membantu pertumbuhan bayi semasa dalam kandungan.

Tempoh

Darah akan keluar dengan banyak beberapa hari pertama selepas kelahiran dan akan mula berkurangan sehingga bertukar kepada cairan keputihan yang normal. Tiada tempoh minimum bagi darah nifas. Purata wanita mengalami pendarahan sehingga 40 hari. Tempoh maksimum adalah 60 hari. Jika masih ada darah selepas 60 hari anda perlu laporkan kepada doktor.

Darah Nifas Yang Normal

Darah yang keluar pada minggu pertama selepas kelahiran mungkin akan mengandungi ketulan-ketulan darah. Ia tidak seharusnya lebih besar dari saiz bola golf. Anda mungkin juga akan merasakan aliran darah yang laju secara tiba-tiba jika anda bangun dari posisi duduk atau baring. Ini adalah normal kerana bentuk vagina seperti cawan membuatkan darah bertakung ketika anda duduk dan baring dan akan mengalir keluar bila anda bangun.

Pada minggu pertama ini anda perlu menggunakan pad khas untuk ibu bersalin yang lembut dan boleh menampung jumlah darah yang banyak. Gunakan bersama seluar dalam pakai buang jika anda risau tentang kebocoran. lebih mudah, anda juga boleh menggunakan lampin dewasa pakai buang.

Selepas 10 hari darah yang keluar akan mula berkurangan sehingga maksimum 60 hari. Anda boleh gunakan pad biasa, panty liner atau menstrual cup. Elak menggunakan tampon kerana berisiko menyebabkan jangkitan kuman. Anda juga dinasihatkan supaya kencing dengan kerap untuk mengelakkan jangkitan kuman pada saluran kencing (UTI)

Darah Nifas yang Tidak Normal

Laporkan kepada doktor jika anda mengalami tanda-tanda seperti berikut:

  • Darah Merah terang lebih dari hari ketiga selepas kelahiran
  • Ketulan darah besar dari saiz bola golf
  • Pendarahan yang terlalu banyak, pad penuh dalam masa kurang 1 jam dan tidak berhenti.
  • Darah berbau busuk
  • Rasa tidak sihat; demam, kesejukan, pening, pitam, nadi laju
Slide1
Slide2
Slide3
Slide4
Slide5

Previous
Next

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *