Muntah Bayi: Normal atau Tidak?

Muntah Bayi: Normal atau Tidak?

Muntah adalah cara tubuh kita membuang atau menyingkirkan isi kandungan perut melalui mulut. Muntah bukanlah penyakit tetapi ia adalah gejala atau simptom kepada pelbagai jenis penyakit. Muntah dalam kalangan bayi dan kanak-kanak biasanya pulih dengan sendirinya dan tidak berbahaya kecuali ia disebabkan oleh penyakit yang lebih serius. Oleh itu anda perlu tahu membezakan jenis muntah berdasarkan 3 jenis cara muntah berikut:

Refluks – refluks berlaku apabila susu yang diminum terkeluar semula dari perut secara perlahan-lahan disebabkan oleh injap yang memisahkan perut dengan saluran esofagus terbuka secara tidak sengaja, biasanya berlaku apabila bayi sendawa atau tersedu. Biasanya muntah adalah dalam bentuk susu yang berketul-ketul.

Ia sering sering berlaku pada peringkat umur bayi beberapa bulan yang pertama dan tidak memudaratkan. Namun anda perlu berhati-hati akan risiko bayi tersedak dan lemas oleh muntahnya sendiri jika tidak disedari.

Jika kerap berlaku, cuba jangan terus baringkan bayi selepas menyusu. Dukung atau letak bayi dalam posisi menegak atau condong selama sekurang-kurangnya 30 minit selepas menyusu sebelum dibaringkan.

Posetting / regugitation (jeluak) – Keadaan ini berlaku apabila bayi terjeluak susu melalui mulut sejurus selepas susu. Ia juga adalah keadaan yang biasa berlaku dalam kalangan bayi. Jeluak berpunca daripada terlebih minum susu kerana saiz perut bayi yang baru lahir hanyalah sebesar sebiji buah ceri, sebulan kemudian perutnya hanyalah sebesar sebiji telur ayam.

Jika bayi anda kerap jeluak, berikannya susu dalam kuantiti yang lebih kecil secara lebih kerap.

Projectile vomitting (muntah memancut) – Ia berlaku apabila isi kandungan perut bayi terkeluar secara memancut dan mengejut melalui mulut. Kuantiti yang dimuntahkan juga biasanya banyak.

Perhatikan juga simptom-simptom lain seperti suhu badan, tahap dihidrasi, dan warna muntah. Jika suhu badan melebihi 38oC, muntah berterusan hinggan sukar makan dan minum, muntah mengandungi darah atau berwarna hijau, pucat dan sukar bernafas, sila bawa bayi anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Ia mungkin disebabkan oleh jangkitan virus, keracunan makanan atau penyakit yang lebih serius.

Sumber: Portal MyHEALTH

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *