Pernah tak anda tertanya-tanya, mengapa setiap kali Ibu hamil menghadiri temujanji di Klinik Kesihatan Ibu Dan Anak (KKIA) pasti nurse akan cucuk jari dan ambil darah untuk periksa tahap haemoglobin (HB) dalam darah. Ini adalah langkah untuk mengenalpasti jika anda mengalami anaemia semasa hamil ataupun tidak.
Apakah anaemia?
Anaemia adalah suatu keadaan di mana terdapat kekurangan sel darah merah di dalam peredaran darah untuk membawa oksigen ke seluruh tisu badan. Fungsi ini dijalankan oleh protein yang dipanggil hemoglobin. Anemia bermaksud hemoglobin yang tidak mencukupi. Paras hemoglobin yang normal bagi wanita adalah di antara 11.5 hingga 16.5g/dL manakala bagi lelaki adalah 12.5 hingga 18.5g/dL.
Punca anaemia
Anaemia semasa hamil kebiasaannya berlaku kerana kekurangan penghasilan sel darah merah di dalam sum-sum tulang. Ini mungkin disebabkan oleh kekurangan zat penting seperti zat besi,, vitamin B12, folate dan erythropoietin. Wanita yang hamil dengan jarak kehamilan yang kurang dari 2 tahun lebih berisiko mengalami Anaemia dan Maternal Depletion Syndrome kerana tubuh belum pulih sepenuhnya dan belum bersedia untuk hamil semula. Anda boleh baca post kami tentang Risiko Jarak Kehamilan Kurang 2 Tahun. Anaemia juga boleh berlaku jika ibu hamil mempunyai gangguan pembentukan sel darah merah seperti Talasemia.
Tanda-tanda dan Gejala Anaemia
- Rasa letih sepanjang masa.
- Pening.
- Sesak nafas apabila melakukan aktiviti fizikal.
- Kulit pucat.
- Kadar denyutan jantung yang pantas.
- Kurang daya ingatan.
- Hilang berat badan.
Komplikasi
Anaemia yang teruk boleh menyebabkan kegagalan jantung di mana fungsi jantung menjadi sangat lemah dan tidak mencukupi. Ibu hamil juga berisiko mengalami masalah seperti kelahiran pramatang dan kerencatan pertumbuhan janin di dalam kandungan.
Rawatan
Rawatan yang akan doktor berikan bergantung kepada punca anemia yang dihadapi. Jika ia disebabkan oleh masalah perubatan seperti talasemia dan leukaemia, rawatan khusus perlu dilakukan. Jika ia disebabkan oleh kekurangan zat besi, maka seseorang itu perlu mengambil makanan seimbang yang kaya dengan zat besi dan juga pil suplemen zat besi. Pil supplemen zat besi ini biasanya akan diberikan oleh KKIA atau boleh dibeli di farmasi. Adalah disyorkan agar pil suplemen zat besi dimakan bersama dengan vitamin C untuk meningkatkan penyerapan zat besi.
Makanan Kaya Zat Besi
Menurut Centers for Disease Control and Prevention, zat besi yang diperlukan oleh ibu hamil adalah sebanya 30mg /sehari. Semasa hamil terutamanya semasa trimester kedua, tubuh akan menggunakan zat besi dalam jumlah besar. Keperluan zat besi akan meningkat dari hanya 0.8 mg/sehari ketika trimester pertama, menjadi 6-7 mg menjelang trimester kedua dan ketiga. Oleh itu, jumlah keseluruhan zat besi yang diperlukan ibu hamil adalah 20 hingga 48 mg setiap hari.
Berikut adalah contoh jenis makanan yang kaya dengan zat besi:
Untuk lebih info tentang diet ibu hamil anda boleh rujuk post 12 Makanan Yang Ibu Hamil Perlu Makan dan 7 Makanan Ibu Hamil Perlu Elakkan
Sumber: Portal MyHealth