Bersalin cara normal atau melalui pembedahan bukanlah sesuatu yang boleh dipilih sesuka hati. Ia bergantung atas nasihat pakar setelah menilai kondisi ibu dan bayi di dalam kandungan. Seharusnya kita elak membeza-bezakan ibu yang bersalin normal dan yang bersalin melalui pembedahan kerana kedua-duanya bertarung nyawa demi melahirkan anak. Sebelum anda menjadi ibu dan bapa, fahami dahulu apa itu pembedahan caesarean/ c-section dan dalam keadaan apa ianya perlu dilakukan.
Pembedahan c-section ada yang dirancang (elektif) atau yang tidak dirancang (emergency). Jika ibu dan bayi mengalami komplikasi ketika dalam proses kehamilan atau kelahiran yang mengancam nyawa, maka bayi perlu dilahirkan secepat yang mungkin untuk menyelamatkan nyawa ibu dan anak.
Antara sebab-sebab kelahiran c-section yang dirancang (Elektif):
Keadaan Perubatan Tertentu – Jika ibu mempunyai masalah kesihatan kronik seperti sakit jantung, diabetes, darah tinggi atau masalah buah pinggang yang berisiko tinggi jika bersalin secara normal.
Jangkitan Virus– Jika ibu HIV positif atau ada Herpes genital aktif, maka c-section perlu dilakukan kerana kedua-dua virus ini boleh menjangkiti bayi.
Bayi Besar – selalunya bayi normal dilahirkan dalam 2.5kg – 4kg. Jika lebih, bayi dianggap terlalu besar dan bahaya untuk dilahirkan secara normal
Posisi Bayi Songsang – Jika bayi berkemungkinan keluar kaki dahulu atau punggung dahulu dan tidak boleh dipusingkan, doktor mungkin akan putuskan untuk melakukan pembedahan.
Kembar – Boleh lahir secara normal, bergantung kepada posisi bayi, berat dan usia kandungan. Demi keselamatan dan mengelakkan komplikasi kepada ibu dan bayi, c-section adalah lebih baik.
Masalah Uri – Jika berlaku placenta previa (uri menutup laluan serviks) atau placental abruption ( uri terpisah pra-matang).
Sejarah C-section – Ibu yang pernah bersalin secara c-section mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi akan bersalin secara c-section untuk anak yang seterusnya.
Pre-eklampsia – Jika ibu mempunyai masalah tekanan darah tinggi sepanjang kehamilan, ini akan mengakibatkan saluran darah mengecil dan menghalang bekalan oksigen yang mencukupi kepada bayi.
Antara sebab-sebab kelahiran secara c-section yang tidak dirancang (emergency):
Proses Kelahiran Terhenti atau Slow Down – Bukaan tidak mencukupi walaupun contraction sudah melebihi 24 jam, c-section perlu dilakukan kerana boleh menyebabkan bayi lemas dalam kandungan.
Ibu Keletihan atau Fetal Distress – Jika doktor mendapati ibu terlalu keletihan dan tidak mampu push secukupnya atau CTG menunjukkan tanda-tanda bayi semakin lemah, C-section perlu dilakukan.
Prolaps Tali Pusat – Jika tali pusat bayi terkeluar dahulu bekalan oksigen kepada bayi akan tersekat dan membahayakan bayi jika bersalin secara normal
Uterine Rupture / Pecah rahim – Berisiko kepada ibu yang mengandung kembar, ibu yang penah melahirkan secara c-section atau jarak kelahiran yang rapat (kurang 2 tahun).
Tak kiralah bersalin secara normal atau melalui pembedahan, anda tetap ibu yang hebat. Ikuti nasihat doktor anda. Apa yang penting, kedua-dua ibu dan bayi selamat.