Sebagai umat Islam kita disunatkan untuk melakukan tahnik pada bayi yang baru lahir. Tahnik bermaksud membelah mulut bayi dengan buah tamar yang dikunyah dan digosokkan ke lelangit bayi, dan sebahagiannya lagi masuk ke dalam perutnya.
Hal ini berdasarkan kepada hadith daripada Anas bin Malik RA bahawa beliau membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari kepada Rasulullah SAW selepas Abdullah RA baru dilahirkan. Katanya:
ذَهَبْتُ بِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ الأَنْصَارِيِّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حِينَ وُلِدَ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي عَبَاءَةٍ يَهْنَأُ بَعِيرًا لَهُ فَقَالَ ” هَلْ مَعَكَ تَمْرٌ ” . فَقُلْتُ نَعَمْ . فَنَاوَلْتُهُ تَمَرَاتٍ فَأَلْقَاهُنَّ فِي فِيهِ فَلاَكَهُنَّ ثُمَّ فَغَرَ فَا الصَّبِيِّ فَمَجَّهُ فِي فِيهِ فَجَعَلَ الصَّبِيُّ يَتَلَمَّظُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” حُبُّ الأَنْصَارِ التَّمْرَ ” . وَسَمَّاهُ عَبْدَ اللَّهِ
Maksudnya: “Aku membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari RA yang baru lahir menemui Rasulullah SAW pada ketika itu, baginda memakai aba’ah (العباءة) sedang melumurkan untanya dengan minyak. Baginda bertanya: “Adakah kamu membawa tamar?” Aku menjawab: “Ada,” lalu aku menyerahkan beberapa biji kepada Baginda. Baginda pun memasukkan beberapa itu ke dalam mulut dan mengunyah-ngunyahnya. Kemudian, baginda membuka mulut Abdullah dan memasukkan tamar tersebut. Bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambil menghisap manisnya. Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: “Kesukaan orang Ansar ialah buah tamar. Lalu Baginda menamakannya Abdullah.”
Hadith riwayat Muslim: (2144)
Tahnik seelok-eloknya dilakukan pada hari kelahiran bayi oleh orang yang soleh untuk berdoa kepada bayi yang baru dilahirkan dan jika sekiranya tiada yang lelaki, maka perempuan yang solehah juga boleh melakukannya. Namun jika ada halangan dan kekangan untuk melakukan demikian, seperti bayi perlu dijaga dan mendapatkan rawatan di hospital, maka tidak mengapa untuk melewatkkannya dalam tempoh masa tujuh hari atau lebih, selepas bayi sudah kembali sihat.
Kebaikan Tahnik
Tujuan tahnik dilakukan mengikut ulama adalah untuk melatih bayi untuk makan dan menguatkannya. Kajian sains juga menunjukkan bahawa deria rasa pada lidah bayi terhadap rasa masam dan manis telah terbentuk sejak dilahirkan. Pemberian manisan seperti kurma pada peringkat awal akan merangsangkan deria rasa ini dan memberi signal kepada tubuh untuk menerima zat dari susu ibu.
Para saintis dan doktor juga menggunakan kaedah dan amalan bertahnik untuk membantu bayi yang baru dilahirkan mengurangkan rasa sakit ketika menjalani rawatan ni wad NICU hospital. Hal ini kerana kajian saintis mendapati bahawa manisan sucrose yang terdapat pada buah-buahan boleh dijadikan ubat menahan sakit (analgesic) yang selamat kepada bayi. Pemberian sucrose akan merangsang pengeluaran hormon endorphins dalam tubuh bayi yang memberikan rasa tenang. Kurma yang kaya dengan sucrose dan fructose adalah pilihan yang terbaik.
Rujukan dan sumber:
Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Dr.Zubaidi (Tahnik dan kebaikannya dalam perubatan moden)