Dalam budaya masyarakat kita masih ramai ibu-ibu yang mengamalkan cara berpantang secara tradisional. Namun terdapat juga ibu-ibu yang tidak percaya dengan amalan berpantang tradisional dan lebih selesa dengan amalan post-partum yang moden kerana lebih rileks dan tidak terikat dengan pelbagai pantang larang. Kedua-duanya tidak salah asalkan anda tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan kesihatan ibu dan bayi. Tidak kira cara tradisional atau moden, berikut adalah 8 item yang kami rasakan sangat diperlukan bagi ibu-ibu selepas bersalin untuk proses pemulihan yang menyenangkan.
1. Baju Nursing Friendly
Ibu-ibu sangat disarankan untuk menyusukan bayi dengan susu ibu sahaja sehingga umur bayi sekurang-kurangnya 6 bulan dan diteruskan sehingga umur 2 tahun. Oleh itu sangat penting untuk anda mendapatkan baju dengan bukaan yang mudah untuk menyusukan bayi tanpa mendedahkan aurat. Terdapat pelbagai jenis baju nursing dalam pasaran namun ramai ibu-ibu yang lebih suka baju dari jenis yang mudah selak pada bahagian dada berbanding jenis berbutang atau zip.
2. Nursing bra
Dipakai bersama baju nursing friendly, nursing bra mempunyai cangkuk pada cup yang boleh dibuka dan ditutup dengan mudah. Terdapat juga jenis yang boleh diselitkan nursing pad untuk menyerap titisan susu supaya tidak menembusi bra hingga terkena baju.
3. Maternity Pad
Selepas bersalin akan ada darah nifas yang akan keluar daripada vagina sehingga selama maximum 60 hari. Pada 4-5 hari pertama anda mungkin akan mengalami aliran darah yang banyak. Anda perlu menggunakan maternity pad yang khas. Ianya lebih tebal dan lembut, tidak merengsa kulit terutama bagi ibu-ibu yang mempunyai luka jahitan episiotomy. Namun ramai yang berpendapat pad overnight biasa juga sudah memadai. Ada juga yang mencadangkan penggunaan lampin pakai buang dewasa ketika 4-5 hari pertama ini kerana lebih mudah dan anda tidak perlu membasuh seluar dalam anda jika berlaku kebocoran.
4. Disposable panties
Kami tahu anda cukup tak suka membasuh kesan darah pada seluar dalam. Ini adalah alternatif menggantikan seluar dalam biasa terutamanya pada hari aliran darah nifas yang heavy dan berpotensi untuk berlaku kebocoran. Disposable panties ini boleh didapati di mana-mana farmasi dan terdapat dalam beberapa jenis material seperti cotton dan non-woven fabric. Ianya boleh dibuang jika sudah kotor. Jimat masa dan tenaga.
5. Epsom Salt
Ibu-ibu yang selepas bersalin digalakkan untuk melakukan tangas atau sitz bath untuk mempercepatkan proses pemulihan luka dan melancarkan aliran darah. Sitz bath boleh dilakukan dengan duduk berendam dalam besen yang diisi dengan air suam bersama larutan epsom salt. Epsom salt larut dalam air dan menghasilkan magnesium dan ion sulphate. Magnesium sangat diperlukan oleh tubuh manusia, boleh mengurangkan stress dan melegakan kesakitan otot. Dengan berendam dalam larutan epsom salt, dipercayai mineral magnesium boleh diserap oleh badan melalui kulit. Epsom salt boleh didapati di mana-mana farmasi.
6. Nipple Cream
Ramai ibu-ibu yang mengalami nipple crack atau nipple sore kerana tidak biasa menyusukan bayi atau kerana lekapan yang tidak betul. Ianya sangat pedih dan mengganggu proses penyusuan. Pastikan anda menyediakan krim yang khas untuk melegakan kesakitan dan mempercepatkan pemulihan luka. Yang penting, ianya haruslah selamat untuk bayi jika tertelan.
7. Nursing Pillow
Bayi yang baru lahir akan menyusu dengan kerap dan lama. Ini akan memenatkan anda jika perlu duduk sambil memangku bayi untuk tempoh yang lama. Dapatkan nursing pillow yang selesa digunakan untuk menyokong bayi dan memudahkan penyusuan. Penggunaan nursing pillow juga akan memudahkan anda mendapatkan posisi yang betul untuk penyusuan.
8. Botol air
Badan anda sedang dalam proses pemulihan dan anda juga perlu menyusukan bayi. Oleh itu sangat penting untuk anda minum air dengan secukupnya. Ibu yang menyusu biasanya akan merasa sangat haus. Sediakan botol air di sebelah katil atau berdekatan dengan anda supaya mudah untuk dicapai dan minum walaupun anda sedang menyusukan bayi. Nampak remeh tapi dengan mempunyai botol air, anda boleh mengurangkan pergerakan kerana tidak perlu berjalan berulang-alik ke dapur untuk minum air.