Memandikan bayi anda yang baru lahir sepatutnya menjadi satu kenangan yang indah buat ibubapa. Namun masih ada bakal ibu dan bapa yang risau dan takut untuk memandikan bayi newborn kerana tubuh badan mereka yang sangat kecil dan lembut. Jangan risau kerana proses memandikan bayi sangat mudah. Mungkin anda akan merasa kekok untuk kali pertama. Tapi bila anda susah biasa, ia tidak akan menjadi satu masalah yang besar. Teruskan membaca untuk mengetahui langkah-langkah mudah dan tips untuk memandikan bayi newborn.
Bilakah masa yang sesuai untuk memandikan bayi?
Bayi yang baru lahir tidak perlu dimandikan dengan kerap. Kebanyakan pakar penjagaan kesihatan mengesyorkan supaya bayi baru lahir dimandikan 2 atau 3 kali seminggu dan meningkatkan kekerapan seiring dengan bertambahnya usia si manja. Walaupun bayi tidak boleh dimandikan setiap hari, mandian dengan span ialah alternatif yang menjadi pilihan ramai ibu untuk membersihkan bayi mereka yang baru lahir. Jika anda perlu memandikan bayi, pastikan anda melakukannya sekitar jam 10 pagi hingga 5 petang.
Apa yang anda perlukan?
1. Besen mandi dan bath support
Anda boleh sahaja memegang bayi dan mandikannya di sinki dapur, tetapi adalah lebih mudah jika anda boleh sediakan besen mandi bayi bersama bath support untuk meletakkan bayi supaya anda boleh menggunakan kedua-dua belah tangan anda untuk membersihkan bayi. Besen mandi bayi yang mempunyai lubang untuk melepaskan takungan air adalah lebih praktikal. Sediakan juga baldi dan gayung untuk menyiram bayi dengan air suam.
2. Barang mandian bayi
Sediakan barang-barang mandian bayi seperti tuala, sabun, syampu, lampin bersih, pakaian bersih, kapas, changing mat, losyen atau minyak bayi dan letakkannya berdekatan supaya mudah dicapai.
Apa yang anda perlu lakukan?
1. Mulakan dengan menakung air suam di dalam baldi. Periksa suhu air, pastikan tidak terlalu panas. Jangan sesekali memandikan bayi dengan air sejuk kerana ini akan menyebabkan suhu badan bayi menurun dan mengalami hipotermia kerana daya ketahanan bayi masih lemah. Bayi akan terkejut, menjadi biru dan akan mengakibatkan sawan.
2. Gunakan kapas yang basah atau wet wipes untuk membersihkan mata bayi.
3. Bukakan pakaian dan lampin. Bersihkan punggung bayi dari najis dahulu jika perlu. Pastikan anda padamkan kipas ketika bayi bogel.
4. Letakkan bayi pada bath support di dalam besen dan mula siram dengan air suam bermula dari kaki dan ke atas. Kepitkan telinga bayi ketika membersihkan kepalanya supaya air tidak memasuki telinga. Pastikan anda tidak meninggalkan bayi bersendirian di atas bath support.
5. Sabun badan bayi dan syampu rambut bayi dengan behati-hati agar buih tidak memasuki mata. Pastikan anda membersihkan bahagian lipatan seperti leher, ketiak, pelipat kaki dan tangan.
6. Bilas dengan air suam sehingga bersih.
7. Angkat bayi dan letakkan pada tuala yang telah dibentang. Lap kulit bayi dengan lembut sehingga kering.
8. Pakaikan lampin yang bersih. Kemudian sapukan minyak atau losyen bayi dan pakaikannya baju.
9. Anda digalakkan menyusukan bayi sejurus selepas mandi kerana bayi akan merasa lapar dan lebih mudah untuk tidur.