Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita ibu-ibu melarang anak-anak kecilnya di dapur. Pantang anak kacau ketika ibu tengah sibuk memasak, pasti diteriak suruh main di tempat lain. Namun akhirnya bila sudah dewasa anak-anak ini tidak pandai masak dan tidak membantu ibu di dapur, mulalah ibu-ibu ni membebel pula. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya. Sepatutnya ibubapa perlu menggalakkan dan melibatkan anak-anak membantu di dapur seawal yang mungkin. Ya, memang di dapur itu banyak bahayanya, periuk panas, pisau tajam, tapi itu bukan alasan untuk menghalang mereka daripada mendekati dapur. Bahkan banyak aktiviti di dapur yang boleh membantu melatih dan meningkatkan perkembangan otak dan motor skills si kecil. Berikan mereka tugas yang bersesuaian dengan umur dan bimbinglah mereka. Jangan terus marah apabila mereka tertumpahkan sesuatu, sebaliknya ajar mereka cara untuk membersihkannya. Perlu diingatkan, setiap kanak-kanak mempunyai kadar pertumbuhan dan perkembangan yang berbeza. Had umur berikut adalah sekadar cadangan. Mungkin anak anda mampu melakukan beberapa tugasan lebih awal atau lebih lambat dari umur yang dicadangkan. Maka pilihlah mengikut kesesuaian.
0-18 bulan
Untuk 1 setengah tahun yang pertama, cara yang terbaik untuk melibatkan anak anda di dapur adalah dengan membiarkan mereka memerhatikan anda di dapur. Bawalah mereka ke dapur ketika anda memasak. Letakkan mereka di tempat yang selamat dan boleh melihat anda – baby highchair, playpen, atau bouncer, dan berikan mereka beberapa alatan memasak untuk mereka main. Sudu, senduk, mangkuk plastik, apa-apa sahaja yang selamat untuk mereka terokai. Berkomunikasilah dengan mereka, berikan bahan-bahan mentah untuk mereka sentuh dan hidu. Jadikan memasak sebagai sesuatu aktiviti yang menarik untuk mereka tonton dan alami.
18 bulan – 3 Tahun
Pada umur ini, kanak-kanak sudah bersedia untuk mula membantu anda di dapur. Sediakan stool atau Learning Tower supaya mereka dapat membantu pada ketinggian yang sesuai dan selamat. Antara tugas yang boleh diberikan:
- Cuci buah dan sayur di sinki
- Petik daun bayam atau kangkung dari tangkainya
- Lenyek kentang atau pisang
- Sapukan butter pada loyang kek
- Tuangkan bahan kering atau cecair ke dalam mangkuk
Pada peringkat ini mereka memerlukan arahan yang jelas dan pengawasan orang dewasa. Tapi mereka pasti teruja untuk membantu.
4-5 Tahun
Perkembangan fine motor skill sedang pesat pada umur 4-5 tahun. Ini adalah masa yang terbaik untuk memberikan mereka tugas yang memerlukan lebih ketelitian walaupun mereka masih memerlukan bimbingan dan pengawasan. Antara tugas yang boleh diberikan:
- Potong makanan yang lembut seperti kek, pisang, telur rebus, buah anggur dengan menggunakan pisau plastik
- Uli doh donut atau pizza
- Pecahkan telur
- Kupas bawang putih dengan tangan
- Kupas telur rebus
- Sapu jem pada roti
Pada umur ini juga anda boleh ajarkan mereka resepi-resepi yang mudah disediakan seperti sandwich
6-9 Tahun
Pada tahap ini mereka mungkin sudah belajar asas-asas penyediaan bahan masakan dan sudah bersedia untuk tugasan yang lebih sukar. Mungkin juga anda yakin mereka sudah bersedia untuk belajar menggunakan pisau, cooking stove dan oven. Kanak-kanak juga sudah mula membaca pada umur ini, oleh itu sangat sesuai untuk anda berikan buku resepi untuk mereka baca dan masak bersama-sama anda. Antara tugasan yang mereka boleh lakukan:
- Guna pisau kecil untuk memotong
- Guna pembuka tin
- Parut cheese
- Kupas sayur dan buah-buahan
- Gunakan hand mixer untuk adunan kek
- Sudukan adunan ke dalam muffin cup
- Basuh pinggan
10-12 Tahun
Apabila mereka sudah belajar dan kemahiran asas di dapur, ibubapa sudah boleh biarkan mereka menyediakan makanan sendiri. Jika mereka boleh goreng telur sendirian pun itu sudah satu pencapaian yang besar. Berikan mereka galakkan dan kelonggaran untuk menggunakan dapur. Ibubapa boleh mengawasi dari jauh dan sentiasa mengingatkan mereka tentang keselamatan dan peraturan kebersihan dalam penyediaan makanan dan pastikan mereka tidak tercedera.
Inilah masanya kita mengubah persepsi dan budaya menghalang anak kecil dari memasuki kawasan dapur. Didiklah dan pupuk minat mereka dari awal supaya mereka rajin membantu anda di dapur dan mampu berdikari apabila sudah dewasa kelak.