Jika anda baru berkahwin atau sedang mencuba untuk hamil kemudian haid anda lewat. Anda dapatkan kit ujian kehamilan daripada farmasi, lakukan ujian air kencing dan keputusannya positif. TAHNIAH! Pasti anda sangat gembira dan tidak sabar untuk memberitahu berita baik ini kepada pasangan dan keluarga anda. Tapi anda juga mungkin tertanya-tanya, apakah langkah seterusnya yang perlu anda lakukan.
Tarikh akhir haid
Langkah pertama yang anda perlu lakukan adalah mengenalpasti tarikh akhir haid anda kerana ini akan ditanya oleh doktor dan jururawat untuk mendapatkan umur kandungan anda. Umur kandungan dikira dari hari pertama haid anda yang terakhir.
Dating Scan
Jika haid anda tidak teratur, umur kandungan boleh dikenalpasti dengan melakukan Ultrasound Dating Scan di mana-mana klinik swasta yang menawarkan khidmat ultrasound scan. Anda juga digalakkan melakukan ultra sound scan jika hasil ujian kit kehamilan anda positif untuk menentukan kedudukan janin. Scan ini penting untuk memastikan janin berada dalam rahim dan bukan di luar rahim. Baca lebih lanjut tentang 5 jenis ultrasound scan sepanjang kehamilan.
Booking Appointment Buku Pink di Klinik Ibu dan Anak
Untuk penduduk di Malaysia, anda perlu mendapatkan tarikh appointment untuk buka buku pink di Klinik Kesihatan yang terdekat apabila anda telah disahkan hamil. Lawatan pertama anda disyorkan dilakukan di antara usia kandungan 8-12 minggu. Lawatan ini adalah mustahak untuk mengenal pasti dan menguruskan sebarang komplikasi kesihatan ( jika ada ) dan melakukan saringan faktor-faktor risiko yang mungkin dialami semasa tumbesaran janin dan akibatnya.
Semasa lawatan tempah, jururawat akan bertanyakan beberapa soalan berkaitan dengan:
- Perihal pusingan haid anda
- Sejarah peribadi
- Sejarah keluarga
- Sejarah perubatan dan pembedahan
- Sejarah kandungan lampau (jika ada)
- Latar belakang ekonomi dan sosial
Selepas sesi temuduga, jururawat akan melakukan pemeriksaan fizikal. Seterusnya anda perlu menjalani ujian di makmal iaitu ujian darah dan air kencing. Apabila anda selesai dengan proses tadi, terpulang kepada keadaan dan keputusan temuduga, pemeriksaan dan ujian makmal, rawatan diberikan mengikut kesesuaian. Sebelum pulang, tarikh lawatan susulan anda akan diberi mengikut persetujuan anda. Jururawat akan memberikan salinan buku rekod pranatal (buku pink) untuk disimpan oleh anda dan untuk dibawa bersama semasa lawatan ke klinik. Keseluruhan proses mengambil masa 1- 2 jam bergantung kepada beban kerja klinik semasa lawatan anda.
Supplement Tambahan
Amalkan mengambil supplement tambahan asid folic untuk membantu pertumbuhan dan perkembangan janin yang sihat. Antara supplement tambahan lain yang disyorkan oleh klinik untuk ibu mengandung adalah Obimin yang boleh didapati di farmasi.